Wednesday, 9 May 2018

Keberkesanan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral



PENGGUNAAN SMART MIND MAP DALAM PDP PENDIDIKAN MORAL


Jahidih Saili
Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu, Sarawak
(jahidihsaili@mara.gov.my)


ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti keberkesanan penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral di Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu. Kajian kuantitatif ini dilaksanakan dalam dua fasa, fasa pertama menggunakan reka bentuk kajian tinjauan dengan menggunakan sebuah instrumen soal selidik manakala fasa yang kedua dilaksanakan dengan menggunakan reka bentuk kajian kuasi-eksperimen. Seramai 47 orang pelajar terlibat dalam kajian ini. Kesahan data ditentukan dengan menubuhkan panel rujukan pakar. Data dianalisis secara deskriptif untuk mendapatkan nilai kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai. Melalui kajian rintis yang dijalankan, kebolehpercayaan alat kajian berdasarkan Alfa Cronbach didapati berada pada tahap tinggi iaitu >0.80. Hasil kajian menunjukkan bahawa sikap pelajar adalah tinggi dan penggunaan Smart Mind Map memberikan pelbagai manfaat kepada pelajar dalam PdP Pendidikan Moral. Ujian kuasi-eksperimen pula menunjukkan bahawa penggunaan Smart Mind Map berkesan dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Justeru, penggunaan Smart Mind Map perlu digiatkan lagi dan usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan fungsi dan keberkesanan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral.

KATA KUNCI: Peta Minda, Smart Mind Map


1.      PENGENALAN

Pelaksanaan Pembelajaran Abad ke-21 menuntut setiap guru supaya bertindak lebih kreatif dan inovatif untuk mewujudkan PdP berkesan di dalam bilik darjah (Norhailmi, 2017). Realiti pelajar masa kini yang terdedah dengan kecanggihan teknologi tanpa batas mencabar keupayaan guru agar dapat mewujudkan kaedah PdP terkini berasaskan teknologi (Noor Aini, 2014). Selain itu, BBM bersifat lebih kreatif dan inovatif juga perlu dihasilkan untuk meningkatkan kefahaman pelajar secara efektif berkaitan suatu topik yang diajar (Siti Fatimah, 2010).

            Dalam konteks PdP subjek berbentuk fakta dan abstrak seperti Pendidikan Moral, penggunaan peta minda sebagai BBM untuk mengukuhkan ingatan mengenai isi pelajaran diajar bukanlah suatu perkara baharu (Mohd Mahzan, Abdul Razak & Mohd Muhaimi, 2014). Bahkan, fungsi dan peranan peta minda yang besar dalam memudahkan proses PdP telah meletakkan fungsi peta minda ke tahap yang lebih tinggi dengan kewujudan peta pemikiran I-Think (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012). Kesan inovasi ini meluas sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Namun, keberkesanannya masih boleh dipertikai memandangkan masih wujud fenomena gagal dalam kalangan pelajar termasuk dalam PdP Pendidikan Moral di Institut Kemairan MARA (IKM) Bintulu.

            Sifat peta minda yang ringkas dan padat menyebabkan majoriti daripada pelajar gagal menginterpretasikan maksud isi penting yang dibaca kerana bersifat abstrak (Mohd Mahzan, Abdul Razak & Mohd Muhaimi, 2014). Masalah ini diatasi dengan mengetengahkan sebuah konsep peta minda yang dinamakan sebagai Smart Mind Map. Peta minda ini berbeza dengan peta minda biasa kerana bersifat lebih interaktif dan inovatif dilengkapi dengan teknologi Quick Response (QR) Code. Kewujudan QR Code bersifat serba guna antaranya, menyediakan layanan kepada pelajar untuk mengakses modul lengkap sebagai bacaan lanjutan untuk mengatasi kekeliruan berkaitan suatu bagi topik yang dibaca di samping dapat memberikan kemudahan kepada pelajar untuk menjawab soalan-soalan pengukuhan interaktif dalam bentuk soalan subjektif atau pun objektif. Justeru kajian ini dilaksanakan untuk meninjau sikap, manfaat dan keberkesanan penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral di Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu.

2.      SOROTAN KAJIAN

2.1    Peta Minda dalam Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)

Penggunaan peta minda dalam proses PdP dapat membantu pelajar untuk meningkatkan kefahaman mengenai isi pelajaran yang diajar (Buzan,1976). Peta minda lazimnya memberikan rangsangan visual dan meningkatkan motivasi pelajar untuk melaksanakan ulang kaji secara kendiri (Mohd Mahzan, Abdul Razak & Mohd Muhaimi, 2014). Kesan penggunaan peta minda membantu pelajar untuk mengeluarkan isi penting, memudahkan pelajar untuk mengingat fakta seterusnya menghuraikannya secara lebih sistematik (Abdul Rahim, 2000).

Kewujudan peta minda juga berguna sebagai alternatif kepada kaedah pengajaran secara tradisional yang banyak bergantung pada kaedah “Chalk and Talk”. Kajian terdahulu menunjukkan, aplikasi peta minda dalam PdP bagi menggantikan kaedah tradisional berimpak secara signifikan terhadap peningkatan pencapaian pelajar dalam akademik (Zahara & Nurliah, 2009). Penggunaan peta minda merangsang pelajar untuk bersikap positif terhadap sesebuah subjek yang dipelajari. Keinginan pelajar untuk belajar semakin meningkat, perasaan seronok semakin bercambah bahkan secara tidak langsung dapat merangsang keinginan pelajar untuk melakukan latihan pengukuhan dalam sesebuah subjek yang dipelajari (Buzan & Buzan, 2006).

2.2    Quick Response (QR) Code

QR Code merupakan singkatan daripada perkataan Quick Response kerana dapat menterjemah isi kandungan QR Code dengan cepat. Fungsi utama QR Code ialah mengubah data bertulis ke dalam bentuk kod 2 dimensi yang kecil dan ringkas. Perkembangan teknologi telefon pintar ketika ini menggalakkan lagi penggunaan QR Code dalam pelbagai industri termasuk dalam bidang pendidikan. Kamera telefon pintar dapat digunakan untuk membaca isi kandungan QR Code menerusi aplikasi QR Code Reader (Rouillard, 2008).

Terdapat pelbagai jenis data yang dapat disimpan dalam bentuk QR Code sama ada dalam bentuk angka, biner dan kanji/kana. Bentuk QR Code lebih kecil daripada barcode kerana dapat menyimpan data secara horizontal atau pun vertikal. Oleh sebab itulah QR Code dapat disediakan sepuluh kali ganda lebih kecil daripada ukuran barcode. Lebih penting lagi, QR Code dapat mengurangkan risiko kerosakan dan kehilangan data. Menurut Anita Rahmawati & Arif Rahman (2011), kod yang terletak di tiga sudut mempunyai fungsi yang sama iaitu, lebih mudah dibaca dengan hasil data yang sama.
 
2.4    Smart Mind Map

Penggunaan peta minda telah diterapkan dalam PdP Pendidikan Moral bermula pada tahun 2017. Namun, refleksi PdP di penghujung tahun menunjukkan, penggunaan peta minda tidak memberikan impak signifikan ke atas keputusan akademik pelajar. Ini kerana pelajar terlalu bergantung pada peta minda dalam proses PdP dengan mengesampingkan penggunaan modul yang disediakan. Kesannya, pelajar keliru dan gagal menginterpretasikan isi penting berbentuk fakta dan abstrak (Abd. Shatar , 2007) yang dibaca kerana ketiadaan sumber rujukan lengkap sebagai bacaan lanjutan. Masalah ini diatasi dengan menggantikan peta minda sedia ada dengan peta minda bentuk baharu iaitu Smart Mind Map. Sifat peta minda yang ringkas dan padat dikekalkan namun setiap helaian peta minta disediakan dengan QR Code untuk memberi layanan kepada pelajar untuk mengakses modul lengkap bagi topik yang dibaca dan turut memudahkan pelajar untuk menjawab soalan pengukuhan yang sangat interaktif dalam bentuk soalan subjektif atau pun objektif.
2.5    Objektif Kajian

Objektif kajian ini ialah untuk:

i.           Mengetahui sikap pelajar terhadap penggunaan Smart Mind Map dalam subjek Pendidikan Moral.
ii.         Mengetahui manfaat penggunaan Smart Mind Map dalam subjek Pendidikan Moral.
iii.       Mengetahui pencapaian akademik pelajar kesan daripada penggunaan Smart Mind Map dalam subjek Pendidikan Moral.

2.6    Hipotesis Kajian

H01 Tidak terdapat kesan penggunaan Smart Mind Map terhadap pencapaian akademik pelajar dalam subjek Pendidikan Moral.

3.      METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini dilaksanakan secara kuantitatif dalam dua fasa. Fasa pertama menggunakan reka bentuk kajian tinjauan, manakala fasa kedua dilaksanakan dengan menggunakan reka bentuk kajian kuasi eksperimen. Fasa pertama dilaksanakan secara keratan rentas (cross-section) dan dianalisis secara deskriptif (Chua Yan Piaw, 2006). Dalam konteks kajian ini, pelaksanaan kajian tinjauan secara keratan rentas sangat sesuai digunakan kerana sesuai dengan konteks kajian yang bertujuan untuk menguji sikap, kepercayaan, pendapat dan tingkah laku individu (Creswell, 2008). Teknik persampelan yang digunakan bagi fasa pertama ialah teknik persampelan seluruh populasi (Mohamad Najib, 1999) iaitu menggunakan keseluruhan populasi pelajar semester 1 sijil dan diploma teknologi kejuruteraan Sesi Januari-Disember 2018 seramai 47 orang pelajar.

Fasa kedua dilaksanakan dengan menggunakan reka bentuk kuasi-eksperimen (quasi experimental). Reka bentuk kajian ini dipilih kerana pemilihan sampel tidak dapat menggunakan prosedur perawakan sepenuhnya kerana bilangan pelajar yang terhad. Lazimnya, teknik padanan tidak diamalkan dalam kajian kuasi-eksperimen (Chua  Yan  Piaw, 2006), kerana proses agihan pasangan responden yang mempunyai ciri-ciri yang sama dalam dua kumpulan responden adalah mustahil, terutamanya dalam kes di mana terdapat pelbagai variabel   bebas yang tidak dapat dimanipulasikan, seperti jantina, bangsa, umur, tahap IQ, jenis kerjaya, tahap pendidikan dan sebagainya. Justeru, pengkaji menggunakan persampelan seluruh populasi (Mohamad Najib, 1999) iaitu menggunakan semua pelajar semester 1 sijil teknologi kejuruteraan seramai 30 orang pelajar. Reka bentuk kuasi-eksperimen tidak memerlukan sampel yang ramai, 15 orang bagi satu kumpulan sudah memadai.

Reka bentuk kuasi-eksperimen (quasi-experimental) dalam kajian ini digunakan untuk mengetahui dan membandingkan kesan penggunaan Smart Mind Map ke atas kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan berdasarkan pencapaian akademik dengan menggunakan ujian pra-pasca dengan kumpulan tidak seimbang (Gall, Gall & Borg, 2005).

Jadual 1: Reka Bentuk Kajian Kuasi-Eksperimen

Kumpulan
Ujian Pra
Penggunaan Smart Mind Map
Ujian Pasca
Kump. Eksperimen
ü   
ü   
ü   
Kump. Kawalan
ü   
-
ü   
Instrumen kajian sangat penting sebagai alat untuk mencapai objektif sesuatu kajian di samping berguna untuk mengukur pemboleh ubah yang dikaji (Mohd. Majid, 2004). Dalam konteks kajian ini, instrumen kajian yang digunakan ialah:

i.           Ujian Pra
Ujian pra dibentuk berdasarkan Jadual Spesifikasi Ujian (JSU) Pendidikan Moral. Ujian ini dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran awal mengenai penguasaan pelajar bagi topik yang diuji.

Jadual 2: Skor Pencapaian dan Tahap Skala

Skor Pencapaian
Gred
Tahap Skala
85 – 100
A+
A
80 – 84
A-
75 – 79
B+
B
70 – 74
B
65 – 69
B-
60 – 64
C+
C
55 – 59
C
50 – 54
C-
0 –49
F
F
Sumber: Unit Penilaian dan Pensijilan Bahagian Kemahiran Tinggi MARA

ii.        Ujian Pasca
Ujian pasca dibina berdasarkan kepada JSU yang digunakan dalam ujian pra. Ujian ini penting untuk mengetahui pencapaian pelajar kesan daripada penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral.

iii.      Soal Selidik
Borang soal selidik dalam kajian ini digunakan untuk mendapatkan maklumat mengenai sikap dan manfaat penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral. Item yang digunakan ialah berbentuk Skala Likert 5 Mata kerana sesuai untuk menguji persepsi dan sikap (Cohen et al., 2000).

Jadual 3: Skala Likert 5 Mata

Skala Likert
Skor
Sangat Tidak Setuju (STS)
1
Tidak Setuju (TS)
2
Tidak Pasti (TP)
3
Setuju (S)
4
Sangat Setuju (SS)
5

Reka bentuk kajian kuasi-eksperimen dilaksanakan berdasarkan kepada prosedur yang telah dirancang. Sebagai permulaan, kesemua responden diberikan taklimat awal mengenai kajian yang akan dilaksanakan. Seterusnya, ujian pra dilaksanakan seminggu sebelum rawatan dijalankan bagi mendapatkan gambaran awal mengenai tahap penguasaan pelajar mengenai topik yang diuji. Selepas itu, rawatan dijalankan selama seminggu sambil dipantau oleh guru dari semasa ke semasa. Kumpulan pertama dibekalkan dengan peta minda biasa manakala kumpulan kedua dibekalkan dengan Smart Mind Map sebagai medium ulang kaji. Genap tempoh seminggu, kedua-dua kumpulan diberikan ujian pasca yang dibina berdasarkan JSU yang sama dengan ujian pra. Skor bagi ujian para-pasca dibandingkan untuk melihat perubahan pencapaian bagi kedua-dua kumpulan selepas menerima rawatan.

Kesahan kandungan bagi instrumen kajian telah disemak oleh empat orang pakar di dalam bidang pendidikan moral dan berpengalaman dalam bidang penyelidikan untuk memastikan kesahan kandungan dan kesahan muka. Persetujuan panel rujukan pakar terhadap setiap item menghasilkan instrumen kajian yang mempunyai tahap kesahan yang tinggi (Abu Bakar, 1986). Analisis persetujuan pakar menunjukkan nilai ujian Cohen Kappa yang diperoleh ialah 0.92 iaitu melebihi nilai cemerlang iaitu 0.75 ke atas (McMillan, 2008). Kebolehpercayaan instrumen kajian pula ditentukan dengan melaksanakan ujian rintis seterusnya melaksanakan analisis pekali kepercayaan Alfa Cronbach sesuai dengan kajian ini yang menggunakan Skala Liker 5 mata yang bersifat selanjar (Alias Baba, 1999). Hasil analisis yang diperoleh ialah 0.87 melebihi nilai minimum iaitu 0.60 (Best & Kahn, 1986). Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan Statistical Package for Social Sciences (SPSS) V22 untuk mendapatkan data deskriptif mengenai sikap dan manfaat penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral.

Jadual 4: Interpretasi Min Dimensi Tingkah Laku Efektif

Skor Min
Interpretasi
4.01-5.00
Tinggi
3.01-4.00
Sederhana Tinggi
2.01-3.00
Sederhana Rendah
1.01-2.00
Rendah
Sumber: Nunally (1978)

4.      ANALISIS DAN KEPUTUSAN

4.1          Demografi Pelajar

Jadual 5 menunjukkan, responden yang terlibat dalam kajian ini melibatkan 47 orang pelajar. Jumlah pelajar lelaki lebih ramai (42=89.4%) daripada pelajar perempuan (5=10.6%). Sementara dalam aspek lokasi sekolah, pelajar daripada sekolah bandar adalah lebih ramai (35=74.5%) berbanding pelajar daripada sekolah luar bandar (12=25.5%).

Jadual 5: Demografi Pelajar

Item

Kekerapan
Peratus (%)
Jantina
Lelaki
42
89.4
Perempuan
5
10.6
Lokasi Sekolah
Bandar
35
74.5
Luar Bandar
12
25.5
 
4.2          Sikap Pelajar Terhadap Penggunaan Smart Mind Map

Jadual 6: Sikap Pelajar Terhadap Penggunaan Smart Mind Map

Sikap Pelajar
STS
TS
TP
S
SS
Min
S.P
Interprestasi
Suka belajar P. Moral menggunakan Smart Mind Map
0
0%
0
0%
1
2.1%
39
83%
7
14.9%
4.13
0.39
Tinggi
Smart Mind Map memudahkan untuk belajar P. Moral.
0
0%
0
0%
1
2.1%
38
80.9%
8
47%
4.15
0.42
Tinggi
Suka menggunakan Smart Mind Map untuk membuat latihan.
0
0%
1
2.1%
3
6.4%
32
68.1%
11
23.4%
4.13
0.61
Tinggi
Smart Mind Map meningkatkan minat pada mata pelajaran P. Moral.
0
0%
0
0%
4
8.5%
37
78.7%
6
12.8%
4.04
0.46
Tinggi
Setiap pelajar patut menggunakan Smart Mind Map dalam subjek P. Moral.
0
0%
0
0%
4
8.5%
29
61.7%
14
29.8%
4.21
0.59
Tinggi
Suka menggunakan Smart Mind Map untuk membuat ulang kaji.
0
0%
1
2.1%
3
6.4%
34
72.3%
9
19.1%
4.09
0.58
Tinggi
Min Keseluruhan





4.13
0.51
Tinggi

Jadual 6 menunjukkan min, sisihan piawai, kekerapan, peratusan dan interpretasi min  persetujuan pelajar mengenai sikap terhadap penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelajar mempunyai sikap yang tinggi terhadap penggunaan Smart Mind Map dalam Pendidikan Moral (min=4.13, sp=0.51). Rata-rata daripada pelajar suka belajar Pendidikan Moral dengan menggunakan Smart Mind Map (min=4.13, sp=0.39). Pelajar bersetuju jika penggunaan Smart Mind Map memudahkan mereka untuk mempelajari Pendidikan Moral (min=4.15, sp=0.42) dan sering menggunakannya sebagai medium untuk membuat latihan pengukuhan (min=4.13, sp=0.61). Lebih penting lagi, kewujudan Smart Mind Map dapat meningkatkan minat pelajar terhadap Pendidikan Moral (min=4.04, sp=0.46) dan turut menganjurkan penggunaannya kepada setiap pelajar (min=4.21, sp=0.59). Sebahagian besar daripada pelajar menggunakan Smart Mind untuk membuat ulang kaji (min=4.09, sp=0.58).

4.3          Manfaat Penggunaan Smart Mind Map

Jadual 7: Manfaat Penggunaan Smart Mind Map

Sikap Pelajar
STS
TS
TP
S
SS
Min
S.P
Interprestasi
Smart Mind Map membantu untuk mengingat apa yang diajar oleh guru.
0
0%
0
0%
5
10.6%
32
68.1%
10
21.3%
4.11
0.56
Tinggi
Pembelajaran dengan menggunakan Smart Mind Map mudah dan menyeronokkan.
0
0%
0
0%
1
2.1%
31
66.0%
15
31.9%
4.30
0.51
Tinggi
Meningkatkan penguasaan konsep dan fakta apabila menggunakan Smart Mind Map.
0
0%
0
0%
8
17%
29
61.7%
10
21.3%
4.04
0.62
Tinggi
Pengajaran guru menggunakan Smart Mind Map lebih berkesan.
0
0%
0
0%
6
12.8%
34
72.3%
7
14.9%
4.02
0.53
Tinggi
Smart Mind Map membantu dalam membuat ulang kaji.
0
0%
0
0%
6
12.8%
33
70.2%
8
17%
4.04
0.55
Tinggi
Lebih yakin menjawab soalan peperiksaan selepas mengulang kaji dengan menggunakan Smart Mind Map.
0
0%
0
0%
4
8.5%
36
76.6%
7
14.9%
4.06
0.48
Tinggi
Min Keseluruhan





4.10
0.53
Tinggi

Secara keseluruhannya, pelajar mendapat pelbagai manfaat daripada penggunaan Smart Mind Map dalam PdP Pendidikan Moral (min=4.10, sp=0.53). Smart Mind Map dapat membantu pelajar untuk mengingat isi pelajaran yang disampaikan oleh guru (min=4.11, sp=0.56). Sifat Smart Mind Map yang lebih inovatif dan interaktif menjadikan PdP lebih mudah dan menyeronokkan pelajar (min=4.30, sp=0.51). Kekeliruan fakta juga dapat diatasi kerana penggunaan Smart Mind Map dapat meningkatkan penguasaan mereka terhadap konsep dan fakta yang dipelajari (min=4.04, sp=0.62). Penggunaan Smart Mind Map turut memberikan impak terhadap keberkesanan pengajaran guru. Proses PdP berasaskan penggunaan Smart Mind Map didapati lebih mudah dan berkesan (min=4.02, sp=0.53). Kewujudan Smart Mind Map yang bersifat multi-fungsi sangat membantu pelajar untuk melaksanakan ulang kaji (min=4.04, sp=0.55). Akhirnya, penggunaan Smart Mind Map dapat meningkatkan tahap kesediaan pelajar untuk menghadapi peperiksaan (min=4.06, sp=0.48).

4.4          Pencapaian Akademik Pelajar Kesan daripada Penggunaan Smart Mind Map

Jadual 8: Skor Ujian Pra dan Pos bagi Kumpulan Eksperimen dan Kawalan


Kumpulan

Gred
Ujian Pra
Ujian Pos
Bilangan
Pelajar
Peratus (%)
Bilangan
Pelajar
Peratus (%)

Eksperimen
N=15
A
1
6.67
9
60
B
4
26.67
3
20
C
4
26.67
3
20
F
6
40
-
-

Kawalan
N=15
A
2
13.33
4
26.67
B
4
26.67
5
33.33
C
4
26.67
4
26.67
F
5
33.33
2
13.33

Jadual 9: Min skor ujian pra dan pos bagi kumpulan eksperimen dan kawalan


Kumpulan Kawalan
N = 17
Kumpulan Eksperimen
N = 17
Ujian
Skor Min
Sisihan Piawai
Min Skor
Sisihan Piawai
Pra
60.27
12.96
58.93
12.27
Pos
70.87
13.67
81.33
12.39

Hasil ujian pra menunjukkan bahawa kumpulan kawalan mempunyai pengetahuan lebih mendalam (min=60.27, sp=12.96) berkaitan topik yang diuji berbanding dengan kumpulan eksperimen (min=58.93, sp=12.27). Pengetahuan ini diperoleh melalui pengalaman dalam PdP tanpa penggunaan Smart Mind Map atau apa-apa jenis peta minda. Ujian pos selepas pelaksanaan rawatan menunjukkan peningkatan skor min bagi kumpulan kawalan (min=70.87, sp=13.67) dan eksperimen (min=81.33, sp=12.39) secara signifikan. Namun perincian pencapaian skor min bagi kedua-dua kumpulan ini menjelaskan perbezaan yang ketara. Skor min bagi kumpulan kawalan meningkat sebanyak 10.6 manakala skor min bagi kumpulan eksperimen meningkat sebanyak 22.46 dan perbezaan skor min bagi kedua-dua kumpulan ialah 11.86. Dapatan ini menjelaskan bahawa, penggunaan Smart Mind Map berkesan dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar. Bahkan penggunaannya lebih efektif berbanding penggunaan peta minda yang lain dalam PdP Pendidikan Moral.

5.      KESIMPULAN

Sifat Smart Mind Map yang lebih interaktif dan inovatif memacu pelajar untuk meminati Pendidikan Moral yang bersifat fakta dan abstrak. Ini kerana, Smart Mind Map menyediakan pelbagai manfaat kepada pelajar untuk meningkatkan kualiti pembelajaran yang dilalui. Senario ini memberi impak langsung terhadap pencapaian akademik pelajar. Pencapaian akademik pelajar semakin meningkat kerana masalah kekeliruan mengenai isi penting yang dibaca dapat diatasi melalui bacaan langsung terhadap modul yang boleh diakses menggunakan QR Code. Pelajar juga mudah melakukan ulang kaji melalui latihan interaktif yang disediakan. Berbeza dengan bentuk soalan secara tradisional, aktiviti ulang kaji melalui medium Smart Mind Map memerlukan pelajar untuk menjawab soalan dengan menggunakan gajet seperti telefon pintar, tab dan lain-lain lagi. Setiap soalan yang dijawab, dapat menyediakan keputusan betul atau salah dan dapat memberikan jawapan sebenar secara langsung. Ini memudahkan pelajar untuk melakukan pembelajaran kendiri mengenai suatu topik yang terkandung dalam Pendidikan Moral.

RUJUKAN

Abd. Shatar bin Che Abd. Rahman. (2007). Pengetahuan kandungan dan pedagogi guru pendidikan moral tingkatan empat di sebuah sekolah. Tesis Doktor Falsafah: Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Abu Bakar Nordin. (1986). Asas penilaian pendidikan. Petaling Jaya: Heinemann.
Alias Baba. (1999). Statistik penyelidikan dalam pendidikan dan sains sosial. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Anita Rahmawati & Arif Rahman. (2011). Sistem  Pengamanan Keaslian Ijasah Menggunakan QR Code dan Algoritma Base 64. JUSI, 1, 105-112.
Best, J. W., & Kahn, J.V. (1986). Research in Education., New Delhi: Prentice hall Inc.
Buzan, T., & Buzan, B. (2006). The mind map book: Full colour illustrated edition. London: BBC Active.
Buzan, T. (1976). Use both sides of your brain. New York: E.P Dutton & Co.
Chua  Yan  Piaw.  (2006).  Kaedah  penyelidikan.  Kuala  Lumpur:  MC  Graw  Hill Education.
Cohen,  L., Manion,  L.,  &   Morrison, K. (2000). Research  methods in education. London: Routledge Falmer.
Creswell, J. W. (2008). Educational research: Planning, conducting, and evaluating quantitative and qualitative research (3rd Ed.). New Jersey: Pearson Prentice Hall.
Gall,  J.P,  Gall,  M.D,  &  Borg,  W.R..  (2005).  Applying  educational  research  a practical guide. Boston: Allyn and Bacon.
Jahidih Saili. (2015). Pengetahuan Pedagogikal Kandungan (PPK) Pengajaran Tajwid al-Quran dalam Kalangan Guru KKQ di Lembah Klang. Tesis  Sarjana: Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Membudayakan Kemahiran Berfikir. Putrajaya: Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia.
McMillan, J. H. (2008). Assessment essentials for student - based education (2 nd ed.). Thosand Oaks: Crown Press.
Mohd Mahzan Awang, Abdul Razaq Ahmad & Mohd Muhaimi Abdul Rahman. (2014). Penggunaan Peta Minda oleh Pelajar Pintar Cerdas dalam Pembelajaran Sejarah (The Use of Mind Maps by Gifted Students in Learning History). Jurnal Pendidikan Malaysia 39, 2, 95-100.
Mohd Najib Abd Ghafar. (1999). Penyelidikan pendidikan. Johor: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Noor Aini Ahmad. (2014). Mengintergrasi Teknologi Komunikasi dan Maklumat Sebagai Media Pengajaran Bahasa dalam Kalangan Kanak-Kanak Awal Umur. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu –JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ), 4, 36-43.
Norhailmi bin Abdul Mutalib. (2017). Pembelajaran Abad 21 Bukan Sekadar Susun Kerusi dan Meja. Perlis: Percetakan Perlis (1990) Sdn. Bhd.
Nunally,  J.  C.  (1978).  Psycometric  theory.  New  York:  Mc.  Graw  Hill  Book Company.
Rouillard, J. (2008, July). Contextual QR codes. In Computing in the Global Information Technology, ICCGI'08. The Third International Multi-Conference. Greece, Athens.
Siti Fatimah Ahmad & Ab. Halim Tamuri. (2010). Persepsi Guru Terhadap Penggunaan Bahan Bantu Mengajar Berasaskan Teknologi Multimedia dalam Pengajaran j-QAF. Journal of Islamic and Arabic Education 2, 2, 53-64.
Wan Hasmah Wan Mamat. (2002). Pembelajaran interaktif dalam pendidikan moral: Cabaran bagi guru. Kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Pendidikan Moral: Tren dan Hala Tuju pada 22 – 23 Julai 2002 di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Zahara Aziz & Nurliah Jair. (2009). Penggunaan Peta Konsep untuk Meningkatkan Pencapaian Mata Pelajaran Sejarah bagi Pelajar Tingkatan Dua. Jurnal Pendidikan Malaysia 34, 1, 3 – 15.

BIBLIOGRAFI PENULIS

Berasal dari daerah Ranau, Sabah
Sekolah Menengah: SMKA Mohd Ali Ranau
Sarjana Muda: Usuluddin, Universiti Malaya
Sarjana: Pendidikan Islam, UPSI
Diploma Pendidikan: UNITAR, Kelana Jaya
Bekerja sebagai pendidik di Institut Kemahiran MARA (IKM) Bintulu, Sarawak.

Kajian lengkap boleh dirujuk di SINI.