Monday, 19 February 2018

Bacaan tambahan utk PA ke-21, Part 3


Saya ingin berkongsi dapatan seterusnya daripada buku What’s The Point Of School, iaitu Bab 7: Cultivating Successful Learners.

Antara intipati bab ini yang menarik perhatian saya ialah 8 CIRI PEMBELAJAR SEPANJANG HAYAT.

Menurut penulis buku ini, Guy Claxton, beliau telah menyuarakan pendapat berkali-kali bahawa APA YANG SEBENARNYA DIPERLUKAN oleh murid ialah KEMAHIRAN dan KEYAKINAN DIRI untuk menghadapi sebarang situasi dan ketidaktentuan hidup di luar bilik darjah kelak. Dalam erti kata lain, murid perlu diberikan ilmu dan latihan untuk menjadi seorang PEMBELAJAR SEPANJANG HAYAT semasa MASIH di dalam bilik darjah.

Penulis yakin salah satu cara untuk menghasilkan PEMBELAJAR SEPANJANG HAYAT ini adalah dengan menjadikan SEKOLAH sebagai tempat PERANTISAN. Anda boleh membaca lebih lanjut tentang idea penulis menjadikan sekolah sebagai tempat perantisan ini dalam Bacaan Tambahan PA ke-21 Part 1 dan Part 2.

Menurut penulis, 8 CIRI PEMBELAJAR SEPANJANG HAYAT adalah seperti yang berikut:

1. INGIN TAHU – Mereka sentiasa berminat untuk belajar sesuatu yang baharu. Fikiran mereka terbuka. Mereka tidak menerima bulat-bulat satu-satu pandangan. Mereka akan bertanya sehingga mereka berasa puas hati dengan jawapan yang diberikan.

2. BERANI – Mereka tidak gentar akan ketidaktentuan mahupun kegagalan. Mereka berani menyatakan tidak tahu, jika mereka tidak tahu. Mereka juga tidak mudah mengalah.

3. MENEROKA dan MENYIASAT – Mereka suka menemukan sesuatu yang baharu. Mereka bijak mencari dan mengumpulkan maklumat. Mereka juga bijak menilai dan mempertimbangkan apa jua yang mereka dengar dan lihat, dan seterusnya berkebolehan untuk memberikan bukti/evidence atas perkara yang diterokai oleh mereka.

4. MEMBUAT EKSPERIMEN – Mereka bijak mengubah suai sesuatu mengikut kemahiran mereka dan sentiasa mencari ruang untuk membuat penambahbaikan hasil penemuan mereka. Mereka sentiasa ingin mencuba pendekatan yang berbeza agar dapatan yang lebih baik diperoleh.

5. MEMILIKI IMAGINASI – Mereka tahu menggunakan #KREATIVITI mereka dalam meneroka pelbagai kemungkinan. Mereka bijak meletakkan diri mereka dalam diri orang lain agar mereka dapat melihat perpekstif yang berbeza.

6. MENGANALISIS dan MENILAI – Mereka bijak memberikan penjelasan dan seterusnya mencetuskan idea baharu daripada penjelasan tersebut, dalam erti kata lain, mereka #FIKIR_SECARA_KRITIS. Mereka berkebolehan untuk mengenal pasti kesalahan sendiri dan membetulkannya.

7. BERSOSIAL – Mereka menitik beratkan amalan #KOLABORASI dan #KOMUNIKASI serta suka berkongsi idea, cadangan dan sumber. Mereka bijak memberikan pendapat tetapi pada masa yang sama, mereka dapat menerima pendapat orang lain. Mereka tahu dengan siapa dan bila mereka perlu bercakap.

8. MUHASABAH DIRI – Mereka bukan sahaja bijak memikirkan objektif sesuatu, malah tahu masa yang sesuai untuk menarik diri dan bermuhasabah. Mereka akan memikirkan kembali modus operandi mereka dan mempertimbangkan strategi dan kemungkinan yang lain.

Ada sesuatu yang bermain-main di fikiran saya sehabis saya membaca 8 ciri pembelajar sepanjang hayat yang dinyatakan oleh penulis.

Jika anda perasan, saya telah meng‘hash tag’kan perkataan KREATIVITI, FIKIR SECARA KRITIS, KOLABORASI dan KOMUNIKASI.

Kita biasa dengar perkataan ini, bukan?

Ya, betul. 4C. Dan, ini sudah tentu merujuk kepada CIRI PEMBELAJARAN ABAD KE-21!

Pada pendapat peribadi saya, mungkin atas sebab inilah kerajaan kita ingin menerapkan Pembelajaran Abad ke-21 dalam sistem pendidikan kita. Untuk jangka masa pendek, kita mungkin nampak penerapan ini sebagai sesuatu yang membebankan, namun untuk jangka masa panjang, hal ini akan melahirkan GENERASI PEMBELAJAR SEPANJANG HAYAT, insya-Allah. Berilah masa dan ruang untuk sistem ini menampakkan hasilnya.

ROME WAS NOT BUILT IN A DAY!

Sumber