Monday, 19 February 2018

Bacaan tambahan utk PA ke-21, Part 2


Dapatan seterusnya daripada buku What's The Point Of School yang ingin saya kongsikan ialah pendapat penulis, Guy Claxton tentang pendidikan masa kini.

Pendapat yang AGAK PROVOKATIF pada hemat saya.

MENGAPA SAYA KATAKAN DEMIKIAN?

Penulis mengatakan bahawa pendidikan masa kini sudah hilang hala tujunya. Pendidikan sepatutnya dapat mempersiapkan murid untuk bersedia menghadapi apa juga dugaan dalam dunia yang kian mencabar.

Apa yang berlaku adalah sebaliknya!

Data (di United Kingdom) menunjukkan apabila meninggalkan sekolah dan persekitarannya, majoriti murid berisiko untuk TIDAK DAPAT menyesuaikan diri di dunia luar dan mereka kurang berkeyakinan untuk berkomunikasi secara efektif.

Hal ini akan memberikan impak yang negatif kepada diri mereka sendiri, keluarga, komuniti, majikan dan seterusnya negara. Hal ini harus dibendung dengan segera.

Penulis mengatakan bahawa memang benar ahli politik ada mengambil langkah menangani hal ini TETAPI mereka salah jika beranggapan bahawa penyelesaiannya adalah dengan MENGUBAH SUAI SUKATAN MATA PELAJARAN atau PEPERIKSAAN semata-mata. Ahli politik perlu lebih berani untuk pergi lebih jauh.

Saya jangka di sinilah perspektif pendidikan ke-3 yang dinyatakan oleh penulis, iaitu PERANTISAN memainkan peranan.

PERANTISAN membolehkan murid membina KEMAHIRAN dan DAYA KEPEKAAN di sekolah bagi membantu mereka untuk BERDIKARI dan MAMPU BERHADAPAN DENGAN REALITI KEHIDUPAN apabila meninggalkan sekolah.

Pendidikan di sekolah yang MENEKANKAN KEMAHIRAN akan melahirkan PEMBELAJAR SEPANJANG HAYAT, iaitu mereka yang sentiasa mampu membina KEMAHIRAN yang SESUAI dengan SITUASI SEMASA. Hal ini akan menjamin KESINAMBUNGAN HIDUP mereka dalam dunia yang sentiasa berubah.

Albert Einstein pernah berkata, "Pendidikan ialah APA yang masih ada setelah kita lupa apa yang kita pelajari di sekolah."

'APA' yang beliau maksudkan ialah KEMAHIRAN.

KESIMPULANNYA, kenyataan dan pendapat penulis ini mengajar saya 3 perkara, iaitu:

1. Masalah dunia pendidikan bersifat GLOBAL - United Kingdom, sebuah negara maju pun menghadapi masalah ini. Inikan pula Malaysia. Pada saya, selagi kita sentiasa berusaha untuk mencari penyelesaian terbaik, kita akan berada di haluan yang betul, insya-Allah. Pelan-pelan kita kayuh. Bayi pun perlukan masa sebelum boleh berlari.

2. Masalah dunia pendidikan MERENTASI MASA - Jika Albert Einstein pun pernah mengeluarkan kenyataan begitu, saya beranggapan masalah ini sudah pun wujud pada zaman beliau. Wow, bukan cerita baharu rupanya!

3. Bersedia untuk menyambut kedatangan PEMBELAJARAN ABAD KE-21 - Ya dan insya-Allah.

Semoga segala usaha para pendidik dipermudahkan-Nya.