Monday, 19 February 2018

Bacaan tambahan utk PA ke-21, Part 1

 
Saya ingin berkongsi dapatan daripada buku What’s The Point Of School? Rediscovering the heart of education yang ditulis oleh Guy Claxton. Beliau adalah salah seorang pemikir terkemuka tentang kreativiti, pembelajaran dan otak di UK. Beliau merupakan pengarah di Centre for Real-World Learning, University of Winchester dan telah menulis lebih 20 buah buku tentang kreativiti dan pembelajaran.

Semasa saya menghadiri Bengkel Kerja Talent Pool Bagi Pemimpin Pelapis JPN & PPD pada tahun 2015, Timbalan Pengarah IAB, dalam ucapan penutupan bengkel telah menyarankan kami untuk mencari (sampai dapat) buku What’s The Point Of School? ini. “Baca, faham dan amalkan,” pesan beliau.

SEBABNYA?

Buku ini menjelaskan secara terperinci penyelidikan yang telah dibuat oleh penulis tentang PEMBELAJARAN ABAD ke-21 (PA ke-21) dan isu yang muncul dalam melaksanakan PA ke-21.

Antara intipati buku What’s The Point Of School?:

Penulis mengatakan ada 3 perspektif dalam dunia pendidikan:
i. KELAYAKAN – perspektif ini menunjukkan kejayaan kurikulum pada diri seseorang murid
ii. KANDUNGAN – perspektif ini menekankan perihal subjek di sekolah

Kedua-dua perspektif di atas biasa kita dengar. Kita sudah faham dan arif.

Walau bagaimanapun, perspektif yang ke-3 agak unik, iaitu;
iii. PERANTISAN (praktikal/latihan) – perspektif ini melontarkan idea untuk menjadikan sekolah sebagai tempat latihan bagi murid mendapatkan kemahiran dan daya kepekaan

Penulis mengatakan bahawa perspektif yang ke-3 BUKANLAH ALTERNATIF kepada perspektif yang pertama dan ke-2, sebaliknya sebagai PELENGKAP.

Contoh yang diberikan oleh penulis adalah seperti yang berikut:

Jika di sekolah, guru hanya menyuruh murid menyalin nota, menghafal dan seterusnya memuntahkan jawapan yang dihafal semasa menjawab kertas peperiksaan, pada akhirnya, murid itu hanya mendapat KEMAHIRAN MENULIS NOTA dan MENGHAFAL, dan SIKAP MENERIMA sahaja apa yang diberikan tanpa soal.

Sebaliknya, jika di sekolah, kurikulum dibina berdasarkan kerja berkumpulan antara murid, murid dibenarkan untuk memilih projek mereka sendiri dan guru hanya bertindak sebagai pemudah cara di dalam bilik darjah, pada akhirnya, murid itu akan mendapat KEMAHIRAN BERKOLABORASI dan BERKOMUNIKASI, dan SIFAT KEPIMPINAN murid terpupuk.

Jelaslah pada saya bahawa inilah sebenarnya ASAS kepada PEMBELAJARAN ABAD ke-21!

Pembelajaran BERPUSATKAN MURID dan memerlukan murid MENGUASAI KEMAHIRAN 4C, iaitu COLLABORATION, COMMUNICATION, CREATIVITY dan CRITICAL THINKING.

Secara peribadi, buku ini sangat membantu saya untuk ‘nampak’ secara keseluruhan apa itu PA ke-21.

Banyak lagi intipati buku What’s The Point Of School? ini, tetapi untuk pos kali ini, cukup setakat ini sahaja dahulu. Nanti ada pula orang berkata, “Teori tak habis-habis.” atau “Cakap aje bolehlaaa.”

TETAPI, jika tiada teori, manakan datang praktikalnya!

Teringat saya pada kata-kata Machiavelli dalam buku The Prince, yang lebih kurang begini maksudnya, “Sangat sukar untuk memperkenalkan sesuatu yang baharu kerana setiap yang baharu itu miliki 2 musuh. Musuh pertama, mereka yang telah berjaya di bawah sistem yang lama. Musuh kedua, mereka yang menyokong sistem yang baharu namun masih waswas akan tahap kejayaan sistem baharu ini (dalam erti kata lain, bimbang dijadikan tikus makmal).”

Kita harus ingat, kita bukan ahli silap mata. Tiada apa yang berlaku dalam sekelip mata. Semua usaha perlukan MASA dan ISTIQAMAH. Semoga usaha kita untuk memberikan yang terbaik kepada anak didik kita agar bersedia mengharungi zaman akan datang yang lebih mencabar akan dipermudahkan-Nya, insyaAllah.

Sumber