Monday, 19 February 2018

Aktiviti PA ke-21 untuk Ulang Kaji

 

Antara aktiviti (sesuai untuk ulang kaji) yang dikongsikan ialah:

1. INSIDE OUTSIDE CIRCLE (Lingkaran Dalam dan Lingkaran Luar)

Setiap murid lingkaran dalam diberikan kad soalan berserta jawapan dan diminta membacakan soalan tersebut kepada murid di lingkaran luar. Murid di lingkaran luar boleh mencuba untuk menjawab soalan sebanyak dua kali. Jika salah, jawapan akan diberikan oleh murid lingkaran dalam dan nama murid yang gagal menjawab dicatat pada kad soalan. Murid di lingkaran luar diminta bergerak mengikut putaran jam apabila berjaya atau tidak menjawab soalan.

2. RUSH IDEAS (Idea Pantas)

Murid diberikan satu topik dan diminta mencatat idea secara pantas.

Sebagai contoh:
Senaraikan 10 perkataan yang bermula dengan huruf A.

3. SNOW BALL THROWING
(Lontaran Bola Salju)

Setiap murid diminta membina satu soalan yang sesuai berdasarkan topik yang dipelajari pada sehelai kertas putih. Kertas tersebut kemudian dibentuk menjadi bola. Murid diminta melontar bola tersebut kepada rakan mengikut arahan dan arah yang ditetapkan oleh guru. Murid diminta membuka bola (kertas) tersebut dan menuliskan jawapan bagi soalan yang diterima. Jawapan boleh ditulis pada kertas yang diterima atau pada sehelai kertas yang lain. Aktiviti ini boleh berlangsung sebanyak 3 atau 4 kali lontaran.

4. TABLE CLOTHES (Alas Meja)

Setiap kumpulan diminta berbincang dan menulis 1 idea atau jawapan berdasarkan 1 topik yang terdapat pada kertas mahjong yang berfungsi sebagai alas meja. Setiap kumpulan perlu bergerak dari satu alas meja ke satu alas meja berdasarkan putaran jam dalam tempoh masa yang ditetapkan.

5. ROUND ROBIN @ ALL WRITE ROUND ROBIN (Tulis Bergilir)

CARA PERTAMA, setiap murid dibekalkan set soalan berbeza dan setiap seorang dibekalkan borang jawapan. Dalam tempoh masa tertentu, murid diminta menjawab set soalan yang diterima dan apabila tempoh masa menjawab tamat, murid diminta menukar set soalan dalam kumpulan masing-masing.

CARA KEDUA, setiap kumpulan dibekalkan satu lembaran kerja. Setiap ahli kumpulan perlu melengkapkan lembaran kerja tersebut secara bergilir-gilir dalam tempoh masa yang ditetapkan mengikut nombor giliran.

6. STESEN

Setiap kumpulan diminta bergerak ke stesen mengikut masa tertentu dan pergerakan mengikut putaran jam. Setiap stesen disediakan satu soalan. Setiap kumpulan diminta berbincang dan menyelesaikan soalan yang diberikan. Jawapan boleh ditulis pada sehelai kertas atau di dalam buku latihan masing-masing.

Sumber