Saturday, 12 September 2015

Tatacara Mandi Wajib

Assalamualaikum WBT.



PERKARA-PERKARA YANG MEWAJIBKAN MANDI.
1. Bersetubuh (masuknya zakar sehingga terbenam kepalanya ke dalam faraj).
2. Keluar mani.
3. Mati melainkan mati syahid.
4. Keluar haid.
5. Keluar nifas (darah yang keluar mengiringi bayi ketika perempuan bersalin).
6. Wiladah atau melahirkan anak.


FARDHU MANDI

Pertama :
Niat mandi jika keluar mani, keluar haid dan nifas
نَوَيْتُ رَفَعَ الْحَدَثِ الْاَكْبَرِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala”.
نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْحَيْضِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Taala”.
Mandi disebabkan bersetubuh antara suami dan isteri
نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ الْجَنَابَةِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mandi junub kerana Allah Taala”.
Mandi disebabkan keluarnya darah nifas
نَوَيْتُ الغَسْلَ عَنِ النِفَاسِ لِلهِ تَعَالَى
Maksudnya: “Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Taala”.
Kedua :
Menghilangkan najis daripada anggota badan. Iaitu sebelum memulakan mandi, perlulah terlebih dahulu membersihkan atau menghilangkan najis daripada anggota badan.
Ketiga :
Meratakan air ke seluruh anggota badan iaitu menyampaikan air ke seluruh bulu, rambut, seluruh anggota badan dan mengalirkan air kepada tempat-tempat yang zahir daripada qubul dan dubur. 

 CARA MANDI  
1. Sebelum memulakan mandi hadas, perlu mandi biasa terlebih dahulu untuk membersihkan tubuh, menghilangkan kotoran dan perkara-perkara yang boleh menghalang air daripada sampai ke anggota badan. 

 2. Seterusya, disunatkan mengambil wuduk dahulu sehingga membasuh telinga sahaja dan tidak perlu membasuh kaki lagi. Basuhan kaki akan dilakukan akhir mandi nanti. Perkara ini tidak dilakukan pun tidak mengapa kerana ia merupakan perkara sunat sahaja.

3. Duduk bertinggung bagi yang berkemampuan. Ini bertujuan untuk membuka semua anggota yang zahir dan mudah untuk mengalirkan air ke kawasan-kawasan sulit tersebut seperti qubul atau dubur. Kalau berdiri pun tidak menjadi masalah, yang paling penting ialah air dapat sampai kepada semua bahagian anggota badan. 

4. Niat dahulu sebelum mandi (Lihat dalam bahagian Fardhu Mandi di atas). Bagi sesiapa yang tidak pandai dalam bahasa arab boleh dalam bahasa melayu. 

5. Sunat memulakan mandian disebelah kanan dahulu dan seterusnya disebelah kiri. 

6. Mulakan mandi wajib dengan mengalirkan air mutlak di salah satu anggota badan dan disertakan dengan niat mandi hadas sepertimana dinyatakan di bahagian fardhu mandi. 

7. Gosok atau sapu di semua anggota badan yang zahir iaitu dirambut, kepala, telingga, hidung, mata, mulut, tengkuk, ketiak, tangan, jari, kuku, badan, pusat, qubul, dubur, kaki, pelipat-pelipat kaki dan tangan, kuku kaki, jari kaki dan sebagainya. Ini bertujuan untuk menyampaikan air di seluruh anggota badan. 

8. Akhir sekali basuh kaki sebagai penyudahnya, kerana semasa mengambil wuduk tadi kita tidak membasuh kaki.